Sinar Harian, 27 Juli 2010.
Oleh - Ahmad Sahidah
Perancis menetapkan larangan pemakaian burqa. Nampaknya, banyak negara Eropah berlumba-lumba untuk mengharamkan gaya berpakaian yang unik ini. Pertimbangan politik tentu sahaja mengemukakan dengan dalih penghormatan kepada perempuan.
Meskipun demikian, tidak semua bersetuju, namun majoriti menghendaki agar perempuan tak menutup seluruh tubuhnya kerana dianggap menghalang penyertaan Muslimah dalam kehidupan masyarakat tempatan. Ideologi negara-negara Eropah menghendaki perempuan untuk meraikan kebebasan sebagaimana golongan lelaki.
Dalam kalangan Muslim sendiri, perdebatan di antara penyokong dan penentangnya masih tidak berganjak daripada persoalan normatif. Padahal, kemungkinan untuk menggeser perbezaan ini kepada dialog yang lebih mendasar terbuka lebar. Martabat perempuan tidak lagi dibatasi kepada penutupan tubuhnya, tetapi lebih jauh lagi daripada tangan-tangan jahat melalui pencitraan ideal oleh iklan yang menjadikan badan mereka sebagai objek. Di sinilah, analisis kajian budaya (cultural studies) diperlukan untuk memahami lebih jauh makna perlambangan pakaian.
Televisyen telah menjadi alat ampuh bagi industri untuk menjual barangan hingga ke bilik tidur pelanggan. Kaum perempuan dibuat tidak selesa dengan keadaan dirinya dan pada masa sama, alat solekan menawarkan jalan keluar agar golongan hawa ini tampil menyerlah. Hampir tidak ada dari anggota tubuh perempuan yang tidak tersentuh oleh barang jualan; dari kuku, rambut, kulit, mata, bahkan alat sulit. Padahal ilmu kesihatan hanya menyarankan wanita untuk tidur secukupnya, makan secara teratur, minum air lapan gelas sehari, pengurusan tekanan (stres) dan bersukan agar mereka nyaman dengan tubuhnya.
Sepatutnya kontroversi berkait pakaian perempuan tidak hanya memperkatakan perintah normatif, dengan mengabaikan sisi lain dari falsafah hukum atau ilat (sebab). Bagaimanapun, tudung atau burqa itu adalah penanda kehormatan bagi wanita. Di sini, pertimbangannya berkait dengan kepatutan. Selain itu, common sense juga perlu dijadikan pertimbangan agar amalan keagamaan khalayak berada pada titik keseimbangan antara ekstrem kanan dan kiri. Tudung yang menyisakan muka dan telapak tangan telah diterima orang awam sebagai ciri khas Muslimah, dibandingkan burqa. Akibat logik dari amalan ini tentu sahaja pertanggungjawaban moral dari simbol itu, bahawa ia harus menjaga nilai etika yang dikandungnya.
Imej sejati
Penutupan seluruh badan perempuan hakikatnya boleh dilihat sebagai perlawanan terhadap kehendak menjadikan tubuh golongan hawa ini sebagai objek daripada industri, alat solekan, fesyen hingga makanan diet dan suplemen. Idea kebebasan perempuan telah disalahgunakan untuk memenangkan pelabur dalam industri kecantikan. Hampir seluruh media mengepung ruang gerak perempuan. Bahkan, diam-diam perempuan yang menggunakan burqa pun tidak boleh mengelak daripada serbuan iklan. Di balik burqa, seluar dan kasut berjenama mereka telah menjadi bahagian fesyen.
Padahal, Cynthia M Frisby, ahli psikologi kepenggunaan, menunjukkan data, bahawa pendedahan terhadap imej kecantikan ini secara negatif mempengaruhi kepercayaan diri perempuan sehingga menyebabkan mereka terjebak pada perilaku tidak sihat dan menjadi sangat tidak puas dengan keadaan tubuh dan daya tariknya (2004, 324).
Bahkan penyelidikan empirik lain menunjukkan iklan barangan kecantikan cenderung menciptakan ketidakbahagiaan di antara perempuan muda tentang tubuhnya. Memang, pernyataan ini berasal daripada pengalaman perempuan di barat, namun mengingat iklan-iklan yang sama menyerbu masuk ke dalam ruang keluarga di televisyen keluarga kita di sini, maka secara hipotetik fenomena yang sama juga boleh diandaikan terjadi di sini.
Dari fakta di atas, fungsi agama seharusnya tidak lagi membebankan perempuan dengan menaburkan ugutan. Bagaimanapun, dunia ‘gemerlap’ yang ditawarkan oleh industri itu tak lebih daripada fatamorgana. Oleh itu, penekanan terhadap ajaran agama yang sederhana perlu ditonjolkan. Ahli agama harus menawarkan kecantikan spiritual sebagai antitesis daripada keayuan lahiriah. Pengutamaan nilai-nilai agama yang mengedepankan perilaku dan sikap juga sentiasa mendapat perhatian. Tetapi, menawarkan kehidupan asketik (akhirat) sebagai pelarian juga bukan merupakan jawapan. Hidup sihat dan perilaku yang baik adalah kecantikan perempuan yang sempurna.
Kritik agama dan feminisme
Kedua-dua kritik ini sebenarnya mengandaikan keberatan yang sama terhadap industri massa alat-alat solek, bahawa tubuh perempuan perlu dilindungi dari barangan kilang yang cenderung membuat perempuan tidak berasa nyaman dengan dirinya, meski dengan nada yang berbeza. Yang pertama terkesan normatif dengan hanya menyandarkan pada hujah kitab suci, tanpa mahu sedikit membuka pintu bagi alasan feminisme yang bersandar kepada analisis ilmu sosial. Sejatinya, kedua-duanya boleh bertaut untuk menghadapi objektivikasi perempuan yang telah disandera menjadi objek bendawi, tidak lebih. Jiwa perempuan telah ditiadakan dan ditukar dengan secarik kain yang katanya memenuhi trend, solekan untuk menutup ketuaan, dan suplemen untuk menambah kesegaran.
Jika aurat perempuan tidak semata-mata ditutupi dalam pengertian verbal, tetapi juga metaforikal, maka kehadirannya harus diterima apa adanya, tanpa perlu digilap untuk menambah sinar. Jadi, adalah ironi jika ada kecenderungan tudung yang terlalu mengambil berat hiasan. Banyak manik yang dibubuh pada pakaian hakikatnya gagal memahami aurat metaforikal. Selagi keindahan merupakan penampalan dari luar maka wanita tidak akan pernah mempercayai dirinya. Kebergantungan pada benda luar telah merampas peluangnya untuk berasa cukup dengan anugerah diterimanya.
Bagaimanapun, di tengah pertikaian batas aurat perempuan, kebanyakan ulama bermuafakat, seorang wanita hanya boleh menunjukkan muka dan telapak tangan. Lebih jauh, kebanyakan orang menganggap tudung sebagai penanda menjadi Muslimah sempurna. Kadangkala, ia dijadikan pijakan untuk berhijrah dari kehidupan ‘liar’ kepada kesolehan, seperti ditunjukkan oleh janji para pelakon bahawa pada saatnya nanti mereka akan memakai tudung. Tentu tindakan seumpama ini kadang dikritik bahawa yang perlu ditudungi itu hati. Pernyataan yang terakhir ini mengandaikan ideologi Islam etik yang memang mementingkan perilaku, bukan selembar kain di kepala. Namun, akhirnya hal ini harus kembali ke pangkal, bahawa perempuan itu harus dihormati kerana kehadiran dirinya, bukan benda-benda lain yang ditampal pada tubuhnya agar tampak cantik.
* Penulis ialah Felo Peneliti Pascadoktoral di Universiti Sains Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Mengenal Pikiran
Kaum idealis dan materialis melahirkan turunan cara berpikir. Saya memanfaatkan keduanya tatkala mengajar Filsafat Takwil di Universitas Nur...
-
Semalam, kami berlatih menyanyikan lagu daerah, Apuse Kokondao Papua dan Ampar-Ampar Pisang dari Kalimantan. Ibu Yunita, mahasiswa PhD Musik...
-
Semalam takbir berkumandang. Hari ini, kami bersama ibu, saudara, dan warga menunaikan salat Idulfitri di masjid Langgundhi. Setelah pelanta...
-
Saya membawa buku Philosophy for Dummies untuk coba mengenalkan anak pada filsafat. Biyya tampak bersemangat tatkala pertama kali mendapatka...
1 comment:
suka post ini... Tulisan yang menarik dan baik.
Post a Comment