Sumber: Berita Harian Malaysia (8 April 2008)
Oleh Ahmad Sahidah
UMAT Islam di seluruh dunia melihat daripada pandangan tersendiri mengenai filem dokumentari Geert Wilders berjudul Fitna. Mereka juga meluahkan pandangan menerusi sudut berbeza. Di Indonesia - daripada presiden, sarjana, masyarakat hingga demonstrasi yang dilakukan Barisan Pembela Islam (FPI), menunjukkan bantahan keras terhadap propaganda menghina Islam itu.
Aksi FPI yang selama tiga malam berturut-turut ditayang Buletin Utama TV3, menunjukkan perbezaan dengan reaksi Pemuda Umno di hadapan Kedutaan Besar Belanda yang lebih santun. Sepanduk bertuliskan 'Wilders is a great satan', 'Kill Wilders' dan 'Wilders is a christian terrorist' jelas mencerminkan imej umat Islam Indonesia yang panas baran dan pemarah.
Berbanding di Malaysia, poster yang ditunjukkan berbunyi 'Freedom of speech come with responsibility', 'Fitna is Fitnah', 'Jangan Cetuskan Ketegangan Agama' dan 'Islam is Peace'. TV3 juga menyiarkan tindakan emosional sekelompok penunjuk perasaan di Medan, Indonesia, yang merosak pintu pagar Konsulat Belanda di sana.
Banyak pihak dan organisasi bukan Islam seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon; Duta Besar Belanda di Indonesia, Nikolaos van Dam dan beberapa negara Eropah turut mengutuk keras kedegilan Wilders menerbitkan filem pendek 15 minit itu melalui internet.
Dia tidak mempedulikan kesan buruk kemungkinan dibunuh dan mengabaikan tindakan memulaukan barangan Belanda, sedangkan jauh sebelum itu banyak pihak dan negara mengecam tindakan semberono penggiat politik dari Parti Kebebasan (Partij voor de Vrijheid) itu.
Dengan hanya memenangi sembilan daripada 150 kerusi Parlimen di Belanda, sebenarnya Wilders dan kelompoknya tidak mewakili suara majoriti, tetapi kerana ia mencetuskan kontroversi, maka provokasi itu mendapat publisiti meluas.
Dua sahabat saya, Ahmad Anfasul Marom dan Ainul Yaqin, yang sedang melanjutkan pengajian program siswazah di Belanda memberitahu saya bahawa di Belanda, isu semacam ini dianggap biasa. Sebagai negara yang menganut faham kebebasan, pendapat apa pun tidak dilarang kecuali yang menggugat keabsahan Holocaust.
Seorang tokoh fundamentalis Kristian Amerika, Daniel Pipes, melihat bahawa kes ini hanya mengulang semula apa yang pernah terjadi sebelumnya, seperti kes Salman Rushdi, Ayaan Hirsi Ali dan lain-lain yang mendapatkan tentangan keras. Tentunya ini akan mencacatkan lagi hubungan Islam dan pengkritiknya yang berakhir dengan konflik terbuka.
Siapa sebenarnya Wilders? Tokoh kontroversi ini dilahirkan di bandar Limburg Venlo pada 1963, membesar dalam keluarga Katolik dan belajar di sekolah rendah Katolik. Sebagai anak pengarah syarikat pencetakan, dia memulakan kerjaya dalam bidang insurans sosial dan kesihatan.
Daripada pengetahuan dan pengalamannya mengenai dasar ekonomi dan sosial inilah, Wilders menceburi dunia politik sebagai penulis ucapan untuk Parti VVD (Volkspartij voor Vrijheid en Democratie) yang liberal dan anti pendatang asing. Dia kemudian menjadi Ahli Parlimen pada 1998, namun akhirnya orang degil itu keluar dari partinya setelah VVD menyokong kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah.
Boleh dikatakan Wilders sehaluan dengan Pim Fortuyn, tokoh politik yang membenci orang asing dan menggambarkan Islam sebagai agama yang mundur. Akhirnya, Pim dibunuh oleh seorang pencinta binatang pada 2002 dengan alasan yang sama diberikan Mohammed Boyeuri, Muslim Belanda berasal dari Maghribi yang membunuh Van Gogh, pengarah filem yang menghina Islam. Semua ini dijadikan bukti oleh Wilders untuk mengatakan Islam menghasut penganutnya melakukan keganasan.
Dalam profilnya seperti disiarkan BBC News, Wilders tidak lagi menjalankan ibadah dan pada suatu masa pernah menceritakan pada kawannya bahawa dia hanya mengetahui sedikit mengenai agama, walaupun sering bercakap mengenai warisan Judeo-Kristian Belanda. Ternyata, dia mengalami kecelaruan dalam hal emosional, mental dan intelektual.
Lebih menyedihkan, Wilders gagal memahami dengan baik konteks keganasan dalam al-Quran. Dia secara semberono memetik potongan ayat al-Quran mengenai keganasan dengan mengabaikan konteks sebenar (asbab al-nuzul). Malah, dia tidak menggunakan hermeneutik sebagai piawaian minimum cara orang Barat mentafsir al-Quran. Jelas, matlamat filem ini ialah memperoleh sokongan politik untuk partinya dan memanjakan sikap paranoianya.
Oleh itu, ketegasan Presiden Susio Bambang Yudhoyono melarang Wilders memasuki Indonesia adalah hukuman setimpal bagi mengelak tercetusnya kekacauan yang lebih buruk dilakukan sesetengah masyarakat Indonesia. Langkah tokoh agama menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan keganasan adalah cara terbaik menangani hasutan propaganda Islamofobia.
Apa pun, seruan supaya memboikot produk Belanda mungkin agak keterlaluan berdasarkan sikap yang diambil salah seorang pengarah Unilever Belanda, Doekle Terspstra, bahawa Wilders adalah jahat dan kejahatan itu perlu dihentikan. Bukan itu saja, Terspstra menubuhkan satu gerakan anti-Wilders dan dia pernah menyeru supaya rakyat Belanda bangkit untuk menghentikan Wilders.
Namun, persoalan yang timbul adalah tindakan Perdana Menteri Belanda, Jan Peter Balkenenende, yang meminta perwakilan dan organisasi Muslim supaya dapat memahami kedudukannya yang tidak boleh melarang rakyatnya daripada bersuara apa saja yang mereka mahu.
Apapun, jika anda berjiran dengan seseorang yang memelihara anjing yang sentiasa menyalak dan tetangganya mengemukakan protes kerana salakan itu mengganggu tidurnya, apakah sebagai seorang jiran yang baik kita akan membiarkan anjing itu terus menyalak?
Penulis sedang mengikuti pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) bidang Tamadun Islam Universiti Sains Malaysia
No comments:
Post a Comment