Thursday, August 06, 2009

Laskar Pelangi Hebat dalam Filem


Sumber: Berita Harian, 31 Juli 2009

Kejayaan itu dicapai hasil kerjasama erat pengarang novel, pengarah

KETEPATAN memilih masyarakat Melayu di Belitong, Indonesia, dalam Laskar Pelangi oleh pengarangnya, Andrea Hirata, sebagai latar tempat dalam pengkisahan, memberi nilai tambah pada novel terbabit sehingga ia boleh dijadikan sebagai karya sepunya pembaca Melayu di tiga negara berjiran iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pendekatan terbabit juga membezakan Laskar Pelangi daripada novel dakwah penuh kontroversi, Ayat-ayat Cinta karya

Habiburrahman el-Shirazy yang mengambil Mesir sebagai latar cerita dan plot sehingga menjadi ikutan ramai penulis di negara, tetapi kurang mesra dengan peradaban identiti dunia Melayu.

Kejayaan Laskar Pelangi kekal sebagai teks sastera meskipun selepas diadaptasi ke filem atas kebijaksanaan pengarah filem terbabit, turut diperakukan pada Diskusi Novel Laskar Pelangi di Dewan Seminar A, Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, baru-baru ini.

Calon Doktor Falsafah USM, Ahmad Sahidah, mengiktiraf Laskar Pelangi sebagai karya yang akrab dengan peradaban jati diri dunia Melayu, menolak tanggapan karya nukilan arkitek itu bersifat agama totok kerana Andrea berjaya menyampai nilai agama dan moral lebih baik berbanding kebanyakan novel Islami.

“Andrea lewat Laskar Pelangi berjaya menyampaikan mesej agama yang menusuk ke hati tanpa perlu menggunakan kekerasan di samping berupaya menjelaskan unsur sains dan ekonomi secara tuntas dalam bentuk sastera," katanya ketika membincangkan Menemukan Identiti Melayu: Satu Kajian Falsafah.

Diskusi anjuran bersama Persatuan Pelajar Indonesia dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Kelab Ijazah Tinggi Universiti Sains Malaysia (USM), Gramedia dan Konsulat Republik Indonesia itu, turut dihadiri pengarangnya yang berkongsi keperitan memindahkan novel terbabit ke filem.

Pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, selaku penerbit Laskar Pelangi versi bahasa Malaysia menerusi, PTS Litera Sdn Bhd, pula menganggap`pertukaran karya' antara Malaysia dan Indonesia sangat perlahan sejak konfrontasi pada 1962.

“PTS berharap mampu menjadi jambatan karya sastera kedua-dua negara dengan Laskar Pelangi sebagai perintis. Saya yakin bahawa novel penulis Malaysia juga mendapat sambutan daripada pembaca Indonesia, tanpa menafikan kedua-dua bahasa mempunyai sistem ejaan yang berbeza meskipun daripada rumpun bahasa yang sama,” katanya ketika melapah Alasan Menerbitkan Novel Tetralogi Laskar Pelangi.

Dalam konteks filem pula, Laskar Pelangi yang belum dibawa masuk ke Malaysia, didakwa mendapat sambutan hangat di Indonesia dan dianggap filem adaptasi paling berjaya berbanding kebanyakan novel terkemuka lain, hatta Ayat-Ayat Cinta, apabila pengarahnya, Riri Reza, berjaya mengekalkan kekuatan novel itu.

Pensyarah Filem USM, Dr Rohani Hashim, berkongsi kepuasannya menonton Laskar Pelangi meskipun diadaptasi daripada novel kerana bukan saja sarinya sebagai teks sastera terasa, tetapi juga suntingannya licin manakala permainan teknik filem digunakan secara jitu.

Beliau yang membincangkan Laskar Pelangi Sebagai Filem Sastera, memuji penggunaan teknik cut away dalam filem itu yang meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton dalam menonjolkan diskriminasi pendidikan dan ekonomi di kalangan masyarakat Belitong.

"Saya juga berasa dekat dengan filem ini kerana bahasanya mirip dengan bahasa Melayu yang ditutur penduduk Malaysia. Filem ini menggunakan lagu Seroja yang turut popular di negara ini," katanya.

Pensyarah Jabatan Sastera, USM, Prof Madya Dr Sohaimi Abdul Aziz menganggap kerjasama erat antara sutradara dan pengarang novel itu menjadikan kekuatan kedua-dua medium itu kekal.

“Perkara ini menjadikan karya di layar perak menyamai kehebatan novel asal. Proses pemindahan bahasa ke visual bukan mudah, khususnya bagi menggambarkan suasana episod yang membabitkan sudut pandangan pertama dalam novel,” ketika memperincikan Laskar Pelangi: Satu penelitian Adaptasi Novel dan Filem.

Hal ini diakui Andrea ketika menceritakan proses penulisan novel sulungnya itu dan kerja memindahkannya ke layar perak sehingga persetujuan hanya dicapai kedua-dua pihak selepas terhasil skrip ke-11, di samping mengakui bahawa karyanya itu sebahagian realiti kehidupan yang diadun dengan imaginasi kreatif.

Laskar Pelangi adalah novel tetralogi iaitu Sang Pemimpi, Edensor dan Maryamah Karpov pengarang terbabit yang mendapat pujian melangit daripada sasterawan Indonesia tersohor termasuk Sapardi Djoko Darmono dan Korrie Layun Rampan.

No comments:

Syawal Kesembilan

  Di tengah kesibukan masing-masing dalam merayakan kenduri arwah leluhur, kami merekam peristiwa agar abadi. Sebelumnya, saya dan Zumi memb...